Friday, August 12, 2011

BELAJAR MERANCANG PERBELANJAAN


Bajet adalah suatu pelan mengurus aliran tunai. Bajet digunakan untuk membuat anggaran pendapatan dan perbelanjaan kita seharian. Secara ringkasnya bajet menyenaraikan semua aliran masuk dan keluar tunai yang dijangkakan untuk membantu pelajar membuat keputusan kewangan secara berhemat.

Kenapa kita memerlukan bajet dalam pengurusan kehidupan kita sehari-hari? Berapa kali anda membuat pengeluaran daripada mesin ATM tanpa menyedari bahawa anda menggunakan semua wang anda dalam tempoh sehari dua?


Lazimnya, agak sukar untuk kita mengingati kembali kemanakan wang itu dibelanjakan. Kebiasaannya ramai orang tidak menjejaki dan berbelanja lebih daripada pendapatan mereka dan sebab itulah juga bajet ini penting.

Kelebihan mempunyai bajet mampu membuatkan anda hidup mengikut kemampuan, memupuk tabiat menabung, menabung untuk kecemasan kewangan dan menambahkan nilai harta bersih. Ingat, bajet adalah berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan. Oleh sebab pendapatan dan perbelanjaan berbeza mengikut individu, maka bajet anda seharusnya berasaskan keperluan dan kehendak anda.


Jadi bagaimana caranya untuk membezakan antara keperluan dan kehendak? Keperluan adalah sesuatu yang anda perlu ada dan tidak boleh hidup tanpanya contohnya makanan, tempat tinggal, pakaian, telefon bimbit dan computer. Manakala kehendak pula adalah sesuatu yang anda inginkan tetapi tidak semestinya perlu contohnya pakaian berjenama, telefon bimbit yang canggih, computer yang canggih dan bermacam-macam lagi.


Segala keputusan yang dibuat antara keperluan dan kehendak akan member kesan yang ketara terhadap perbelanjaan anda. Setiap kali anda ingin membeli sesuatu, terutama jika ia suatu kehendak, fikirkan terlebih dahulu sama ada kehendak itu ada dalam bajet anda. Berikut ada beberapa tip yang boleh difikirkan oleh pelajar sebelum berbelanja ;

  •    Rancang pembelian untuk mengelak keluar berkali-kali hanya untuk membeli beberapa  barangan.
  •       Guna sumber yang ada dengan sebaik-baiknya.
  •       Sentiasa senaraikan barang yang hendak dibeli.
  •       Elak membeli barangan yang tidak diperlukan.
  •       Pastikan anda hanya membeli mengikut bajet anda.
  •       Bandingkan harga sebelum membeli sesuatu barangan.
  •       Simpan ‘buku senarai harga’ untuk menjejak harga barangan yang kerap dibeli.

Akhir kata dari saya apabil dapat pinjaman daripada PTPTN atau apa jua agensi yang memberi sumber kewangan pada anda, berjimatlah dan gunakan sumber kewangan tersebut kejalan yang betul. Ingatlah bahawa setiap pinjaman perlu dipulangkan semula. Jadi nasihat saya buatlah bajet sebelum anda menyesal dikemudian hari.

No comments:

Post a Comment